Wahai para syuhada, terbanglah menuju ke RabbMu dalam keadaan yang gembira

Tuesday 14 April 2015

Cintailah aku selepas lafaz ijab kabul mu



      Dua orang remaja berlainan jantina, berjalan bersama menuju ke kampus mereka. Cuaca panas yang membahang membuatkan kedua-dua remaja tersebut kelihatan berpeluh dan tercungap-cungap. Namun semuanya tidak dihiraukan kerana itu merupakan nikmat Allah yang tak ternilai. Ada yang tidak dapat merasai panasnya matahari.

      "Abang,sekarang pukul berapa?", soal si zaujah yang diberi nama Ainul Mardhiah. Si zauj yang bernama Fatih melihat jam G shock di tangan kanannya. "Sekarang baru pukul 1 petang. Sekejap lagi nak masuk Zuhur.", jawab Fatih selamba. Ainul Mardhiah dan Fatih merupakan pasangan suami isteri yang menuntut di sebuah kolej yang sama iaitu Kolej Islam As-Syabab. Ainul Mardhiah mengambil jurusan Diploma Kaunseling Islam manakala suaminya pula mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam. Mereka melangsungkan perkahwinan selepas Fatih menduduki peperiksaan STPM. Dan atas dasar ihsan Allah dan ibu bapa kedua-dua belah pihak,mereka bernikah juga akhirnya.

      "Sebelum balik rumah,singgah pusat Islam dulu boleh?", soal Fatih. Ainul Mardhiah hanya mengangguk tanda setuju dengan pendapat suaminya itu. Maka mereka berjalan menuju ke pusat Islam. Secara tiba-tiba, Ainul Mardhiah secara tidak sengaja tersepak batu mengakibatkan kakinya terseliuh. "Ainul okay tak?", tanya Fatih dalam keadaan cemas. Ainul Mardhiah menjawab, "Ainul okay. Cuma tak dapat jalan elok lah.". "Marilah abang dukung Ainul.", kata Fatih. Tanpa berlengah, Fatih meletakkan tangan Ainul Mardhiah di bahunya dan secara perlahan mengangkat Ainul Mardhiah. Cuaca panas yang menikam tidak mematahkan semangat Fatih untuk mendukung isterinya itu.

      "Abang, hari ini Ainul rasa bahagia sangat. Ada hikmah Allah tetapkan Ainul untuk terseliuh hari ini. Sebab sebenarnya, Ainul teringin sangat nak abang dukung Ainul. Macam Rasulullah SAW dan isterinya Saidatina Aisyah. Rasa manisnya cinta di situ.", kata Ainul Mardhiah dengan nada lembut.

      "Allah dah tunaikan permintaan Ainul hari ini. Memang ada hikmahnya atas segala kejadian yang berlaku. Dan Allah tunaikan permintaan Ainul hari ini,walaupun Ainul ni berat. Sakit belakang abang dibuatnya", gurau Fatih sambil tersengih.

      "Abang ni kan. Eeee", ngomel Ainul Mardhiah sambil mencubit pinggang suaminya berkali-kali. 

      "Aduh aduh.. haha abang gurau sajalah. Janganlah merajuk. Nanti kalau Ainul merajuk nanti, memanjang abang tak dapat makan ayam masak merah yang Ainul buat. Kalau buka kedai,mahu terlajak laris ayam masak merah Ainul tu", kata suaminya sambil tersenyum.

      Ainul hanya tersenyum terharu mendengar pujukan suaminya itu. Jelaslah bahawa suaminya itu pandai memujuk. Sentiasa sabar dalam melayan kerenah isterinya yang kuat mengomel. Ainul Mardhiah memeluk erat suaminya itu sambil berkata, "Terima kasih abang. Terima kasih sebab abang sudi menjadi suami Ainul. Sanggup terima kekurangan Ainul. Sanggup terima segalanya tentang Ainul. Bersyukurnya Ainul dapat suami yang macam abang.". Fatih hanya tersenyum mendengar segala kata kata isterinya itu. 

       Benarlah kata orang. Cinta sebelum nikah hanyalah lakonan dunia semata-mata. Jadi tak hairanlah ramai yang kecewa kerana cinta sebelum nikah. 

      

No comments:

Post a Comment